Apabila Allah membuat keputusan menciptakan Adam, kelompok makluk yang lain mempersoalkan keputusanNya.
Kelompok Malaikat: Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu? (Al-Baqarah, ayat 30).
Kelompok Iblis: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.” (Al-A’rraf, ayat 12).
Kepada Malaikat, Allah berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya (Al-Baqarah, ayat 30).
Kepada Iblis: “Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.” (Al-A’rraf, ayat 13).
Malaikat mempersoalkan keputusan Allah kerana khuatir akan apa yang manusia akan buat kepada alam ciptaanNya di masa depan.
Iblis mempersoalkan keputusan Allah kerana khuatir terhadap darjatnya sendiri.
Maka Allah Yang Maha Adil menjawab dengan dua cara:
1) Meleraikan kekhuatiran Malaikat dengan fakta; bahawasanya, Dialah Pencipta Yang Maha Mengetahui. Lalu ditunjukkan kuasaNya dengan memberikan Adam ilmu tentang nama-nama ciptaanNya, yang tidak diberikan kepada makhlukNya yang lain.
2) Menindas keangkuhan Iblis dengan hinaan, maka keluarlah Iblis dari Syurga. Namun, Iblis, dalam keadaan angkuh dan iri hati, meminta diberi waktu dan kuasa bisikkan. Walaupun dihina, Iblis tetap angkuh, apatah lagi dia meminta peluang untuk membalas dendam. Walaupun begitu, Allah tetap memberikan kepada Iblis apa yang dia pinta (Bukankah Allah juga Maha Pemberi?).
Dari sini terdapat contoh tentang pentingnya untuk kita mentaati seseorang yang lebih mengetahui dari kita. Sedang wabak co-vid 19 menular di serata dunia, ada lagi wabak-wabak lain yang sama-sama menular: wabak kekhuathiran dan wabak keangkuhan.
Teliti sekali lagi: Malaikat khuatir akan apa terjadinya kepada alam, bukan kepada dirinya sendiri. Malaikat tahu betapa pentingnya alam dan penghuninya. Jadi, kekhuatiran Malaikat bertempat.
Iblis pun sebenarnya khuatir juga: dia khuatir tentang adanya makhluk yang bermartabat lagi tinggi darinya. Angkuhnya datang kerana tidak mahu menerima perintah kepimpinan. Jadi, khuatir iblis tak bertempat.
Sekiranya khuatir tentang ibadat yang tidak dibuat, sekiranya khuatir dengan kemurkaan Allah, maka ambillah tauladan diatas tentang perlunya memberikan kepercayaan kepada mereka yang sememangnya lebih mengetahui. Para ulama sudah lama menimba ilmu dengan cara baik, bukan setakat lungsur internet atau dengar dakwah di radio sahaja. Merekalah pewaris Nabi, dari segi ilmu dan kepimpinan.
Kalau kepimpinan yang lebih mengetahui disangsi, atau lebih teruk lagi dihina, itu sudah ada unsur keangkuhan.
Jangan sampai kita jatuh dari kemuliaan yang mungkin kita sudah bertahun kumpul dari ibadah kita kerana sanjungkan sangat kebaikan yang kita fikir kita ada.
Na’udzubillah.